Assalamualaikum
Salam Sejahtera
Salam Satu Malaysia
Seperti biasa pada setiap hari kerja, kami geng-geng lelaki di pejabat akan turun untuk minum di Cafe 911 untuk memuaskan nafsu perut dan ianya seperti rutin wajib sekiranya tiada tiada yang menjalankan tugas di luar pejabat. Ia juga seperti acara "morning briefing" oleh Bos kepada kami dan banyak juga topik-topik hangat yang menjadi kupasan kami sepanjang berada disana. Hari ini saya lewat ke pejebat kerana singgah di HQ untuk ambil CPU Bos yang ditukar kerana mengalami masalah yang tak mampu lagi kami tanggung.
Nak dijadikan cerita terbit la satu tajuk dari bos yang amat menarik perhatian kami pada hari ini setelah hampir setengah jam kami di restotan berkenaan. Bos dengan bangganya menceritakan kepada kami tentang kejayaannya mengasuh anak-anaknya yang kini Alhamdulillah semuanya "menjadi". Tiada seorang pun diantara mereka yang menceburi profesion "doktor tanpa tauliah" ataupun gejala-gejala sosial yang lain. Bermula daripada cerita anak-anak, beralih ke cerita cucu-cucu, seterusnya ke cerita mengenai menantunya yang amat menghormatinya. Beliau menceritakan bagaimana perbezaan antara kedua-dua menantunya yang dibandingkannya seperti langit dan bumi.
Bos saya ini memang merupakan seorang yang amat mementingkan hubungan kekeluargaan, malah kami dipejabat pun dilayannya seperti anak-anaknya. (Kami dipejabat berumur antara 31 - 25 tahun dan Bos berumur 55 tahun lepas). Semasa Beliau menceritakan mengenai anak-anak, saya tertarik dengan satu hujahnya mengenai menghantar anak kesekolah berasrama, perkaitan sifat, sikap dan psikologi orang muda pada hari ini dengan sistem pendidikan atau corak pemikiran masyarakat ibu bapa pada masa kini. Hujahnya kedengaran begitu logik dan amat menarik harti saya.
Beliau menceritakan perbezaan falsafah ibubapa pada zaman dahulu dan sekarang mengenai tujuan menghantar anak kesekolah. Ceritanya timbul apabila beliau menceritakan mengenai keengganan beliau untuk menghantar anak perempuannya ke MRSM atau Sekolah Berasrama penuh. Pada beliau menghantar anak pada usia muda akan mewujudkan satu jurang antara ahli keluarga dan akan membuatkan kemesraan didalam kehidupan berkelurga itu kurang dirasai oleh anak. Bayangkan, anak yang berumur 13 tahun sudah meninggalkan rumah, sebulan sekali pulang kerumah untuk 2 hari, dihari minggu, selama 12 tahun (katanya perkiraan sehingga anaknya selesai pengajian peringkat ijazah), kemudian keluar merantau lagi untuk mencari pekerjaan di negeri orang. Cuba bandingkan masa bersama yang tinggal untuk ibubapa mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak mereka. Apabila menghantar anak-anak keasrama, tugas yang sepatutnya dilakukan oleh ibu bapa hampir 80% telah diserahkan kepada guru-guru disekolah.
Berbalik kepada perbandingan tujuan orang dulu dan orang sekarang menghantar anak kesekolah. Beliau berkata, konsep atau tujuan utama ibubapa pada zaman dahulu adalah untuk menjadikan anaknya itu sebagai seorang yang berguna dan mampu berbakti kepada mereka dibelakang hari kelak, disamping menimba ilmu pengetahuan buat bekalan mereka menghadapi masa hadapan berbanding ibubapa pada hari ini yang menjangkakan anak-anak yang dihantar ke sekolah itu akan menjadi seorang yang cerdik pandai ataupun bijaksana. Sistem pendidikan yang digubal pada hari ini juga dilihat sebegitu. Sistem gred dan rangking terlalu menjadikan sesebuah sekolah itu terlampau mementingkan akademik sehingga mengabaikan banyak perkara asas seperti pembentukan kendiri seseorang pelajar.
Kita boleh lihat pada hari ini, anak-anak remaja ataupun pelajar-pelajar hari ini "bekerja" melebihi ibubapa mereka. Bayangkan seawal jam 6.30 pagi, mereka telah dihantar kesekolah, pada sebelah petang mereka akan dihidangkan dengan kelas tambahan, dan pada sebelah malam pula dihidangkan pula dengan tuisyen samada yang disediakan oleh pihak sekolah ataupun inisiatif ibubapa mereka sendiri. Sesudah proses pembelajaran seawal jam 11.00 malam, kemudian diteruskan lagi dengan kerja rumah yang diamanahkan oleh guru matapelajaran mereka. Anak-anak hari ini dilihat lebih sibuk berbanding ibubapa yang bekerja untuk menyara mereka. Hebatnya anak-anak pada zaman ini. Dengan kesibukan yang telah disediakan untuk mereka ini sedikit sebanyak telah mewujudkan satu jurang didalam perhubungan kekeluargaan. Kenapa? Kerana masa untuk bersama anak-anak hanyalah dimeja makan pada waktu makan dan beberapa minit didalam kereta semasa menghantar mereka.
Jika kita lihat pada zaman dahulu, walaupun tidak dihidangkan dengan kesibukan melampau, masih mampu melahirkan golongan pemikir dan cendikiawan yang seperti yang diidam-idamkan oleh setiap ibubapa, malah mereka ini dilihat lebih berkualiti kerana mereka tidak hanya dijamu dengan pengetahuan akademik semata-mata. Anak-anak sentiasa mendapat perhatian daripada ibubapa dan mempunyai masa yang panjang bersama ibubapa. Bayangkan pada zaman dahulu dikampung, anak-anak masih mempunyai masa untuk membantu ibubapa mereka dibendang, didapur disamping meluangkan masa untuk aktiviti-aktiviti yang menyihatkan.
JADI KEPADA IBU BAPA PADA HARI INI, FIKIRKANLAH, APAKAH TUJUAN SEBENAR ANDA SEMUA MENGHANTAR ANAK-ANAK KESEKOLAH? INGINKAN ANAK YANG BIJAKSANA ATAUPUN BERGUNA? HEHE..
p/s : dah macam zaman SPM dulu wat karangan.
No comments:
Post a Comment